AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Paip pecah di Seksyen 15, majoriti kawasan sudah terima bekalan

SHAH ALAM, 30 DIS: Sebanyak 72 kawasan di wilayah Petaling yang mengalami gangguan bekalan air ekoran paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini pulih sepenuhnya setakat 7 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan turut pulih ialah 84 peratus dari 58 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam.

“Namun sembilan lagi kawasan membabitkan Jalan Raja Lumu, Jalan Kem, Kampung Kastam, Kampung Pandamar, Pandamaran, Persiaran Raja Muda Musa, Taman Berembang, Taman Pendamar Indah dan Taman Suria Pendamar di wilayah sama masih belum pulih.

“Kesemua kawasan ini akan menerima bekalan air secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari ini,” katanya menerusi Facebook.

Semalam dilaporkan berlaku kejadian paip pecah di lokasi terlibat yang menyebabkan 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :