KWSP pada 2 Disember 2020 memperincikan skim i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pendapatan pelaburan kasar suku ketiga KWSP lebih RM17 bilion

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM17.33 bilion bagi suku tahun ketiga berakhir 30 Sept 2020 dalam suasana ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran modal dan persekitaran operasi yang dipengaruhi oleh penularan pandemik Covid-19.

Katanya, ekuiti menyumbang RM7.29 bilion atau 42 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku ketiga, manakala instrumen pendapatan tetap mencatatkan RM8.18 bilion.

Hartanah dan infrastruktur, serta instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM1.63 bilion dan RM0.23 bilion, manakala pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM16.87 bilion (selepas mengambil kira rosot nilai dan turun nilai kos atas ekuiti tersenarai).

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata tahun ini menyaksikan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran kewangan, apabila terdapat pergerakan pesat yang beralih daripada satu tahap ekstrim kepada tahap ekstrim seterusnya.

“Kedudukan kewangan KWSP sepanjang tiga suku pertama pada tahun ini dipengaruhi oleh turun naik dalam sentimen pasaran yang diburukkan lagi oleh ketidakpastian berikutan pandemik Covid-19 serta sentimen pengguna yang masih berada pada tahap yang lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Indeks ekuiti global yang dipantau secara terperinci oleh KWSP meningkat semula daripada paras terendah pada Mac, bagaimanapun masih terdapat indeks yang masih belum pulih kepada tahap sebelum pandemik, iaitu pada akhir tahun 2019.

KWSP berkata pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menyumbang 47 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun ini.

“Kejatuhan hasil yang meluas memberi peluang kepada KWSP untuk meningkatkan aktiviti dagangan dan mendapatkan keuntungan.

“Bagaimanapun, KWSP akan mempertimbangkan faktor hasil pelaburan semula yang lebih rendah, serta berwaspada dalam memastikan prestasi jangka panjang portfolio pelaburan tidak terjejas,” katanya.

Pada akhir September 2020, jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM941.77 bilion, terdiri daripada 68 peratus yang diperuntukkan dalam pasaran domestik dan 32 peratus yang diperuntukkan dalam pasaran luar negara, yang juga menyumbang sebanyak 45 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun ketiga.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 49 peratus daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 39 peratus.

Instrumen pasaran wang dan hartanah dan infrastruktur masing-masing merangkumi 7 peratus dan 5 peratus daripada pelaburan.

Portfolio ini mencerminkan strategi KWSP untuk mengoptimumkan pulangan dalam had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Bagi prestasi KWSP untuk bulan berbaki bagi tahun ini, Alizakri berkata walaupun pelaburan KWSP kekal berpandukan SAA, keadaan masih bergantung kepada tindak balas yang pantas dan efektif terhadap pandemik Covid-19, yang juga harus menangani kesan besar terhadap ekonomi dan memastikan kesinambungan perniagaan, pekerjaan dan kehidupan.

“Ketika ekonomi dunia sedang berusaha untuk pulih daripada sekatan pergerakan, jangkitan Covid-19 semakin meningkat semula, dan ini akan menjadi halangan besar kepada pemulihan ekonomi global kepada tahap sebelum pandemik.

“Kami menjangka kadar faedah akan kekal rendah untuk jangka masa yang lebih lama kerana bank-bank pusat terus melonggarkan dasar monetari untuk menyokong ekonomi masing-masing,” katanya.

Sepanjang tahun yang amat mencabar ini, KWSP tetap teguh berpegang pada komitmennya untuk membantu ahli KWSP mencapai masa depan yang lebih baik serta melindungi simpanan persaraan mereka sepanjang tempoh yang tidak stabil ini.

“Ini akan dicapai dengan sentiasa memastikan keuntungan yang dijana daripada pelaburan dilakukan dengan cara yang sihat dan mampan, dengan turun nilai yang berhemah dan langkah-langkah rosot nilai diamalkan secara proaktif pada setiap masa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :