Mohd Hilmi Halim, 24, menyemak dokumen peribadinya secara dalam talian ketika menunggu giliran temu duga dalam program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program kerjaya Selangor diteruskan 2021, maklum balas positif

SHAH ALAM, 9 DIS: Program Jelajah Selangor Bekerja bakal diteruskan tahun depan selepas menerima maklum balas positif orang ramai, kata EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Negeri turut memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya bilangan peserta program tersebut dibuat berdasarkan keluasan lokasi penganjuran.

“Sekiranya program diadakan di stadium, bilangan peserta sepatutnya boleh ditambah sehingga 200 atau 300 orang sebab ruang luas.

“Program pada tahun ini menawarkan 18,267 jawatan dengan kelayakan bermula Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehingga ijazah namun syarat MKN tidak membenarkan kehadiran peserta yang ramai,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Selangor menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Sebanyak 105 majikan menyertai jelajah di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 Disember) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter dan operator panggilan.


Pengarang :