Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) berkenan berangkat menziarahi jenazah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail malam ini. Turut hadir bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (kanan). Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia kira-kira 4 petang 15 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Raja Permaisuri Agong beri penghormatan terakhir Allahyarham Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 15 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini, malam ini.

Baginda yang tiba di perkarangan masjid berkenaan bersama pegawai pengiring kira-kira pukul 8.00 malam, meluangkan sedikit masa bersama dengan keluarga Allahyarham Ungku Abdul Aziz.

Turut kelihatan di masjid berkenaan adalah anak perempuan Allahyarham, Tan Sri Dr Zeti Akhtar, yang merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.00 petang tadi, dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam ini.

Allahyarham dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922.

-BERNAMA


Pengarang :