Seramai 247 pekerja membabitkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan diasingkan di Tune Hotel Aeropolis sehingga 9 Disember 2020. Foto: Laman Sesawang KLIA2.info
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor laksana program khas pekerja kargo KLIA, kekang Covid-19

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Selangor menanggung separuh daripada kos penempatan peserta Program Isolasi Pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mula dilaksanakan sejak 26 November lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata sehingga kini seramai 247 pekerja membabitkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan diasingkan di Tune Hotel Aeropolis sehingga 9 Disember depan.

“Program isolasi ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam membendung penularan wabak antara pekerja di lapangan terbang terutamanya dalam kalangan warga asing.

“Saringan pertama telah dilaksanakan ke atas semua peserta program sekurang-kurangnya tiga hari sebelum peserta menyertai program ini. Kos saringan ditanggung oleh pihak syarikat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan, malam ini.

Jelasnya lagi, sehingga kini, seramai 9,056 daripada 11,000 pekerja di bahagian kargo sudahpun menjalani ujian saringan Covid-19.

“Ujian itu bermula sejak Oktober sehingga hari ini dan sejak 26 November, hanya tujuh kes dikesan positif dan semuanya melibatkan warganegara,” katanya lagi.

Program itu mula dilaksanakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 daripada Kluster Kaya melibatkan pekerja kargo di KLIA.


Pengarang :