AGENDANASIONAL

Staf positif Covid-19, Rapid Rail beri jaminan perkhidmatan selamat diguna

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Rapid Rail Sdn Bhd hari ini memberi jaminan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan rangkaian-rangkaian rel lain kendalian Rapid Rail adalah selamat meskipun dua kakitangan operasi laluan Kelana Jaya didapati positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan, tren-tren berkenaan telah ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi.

“Dua staf operasi LRT laluan Kelana Jaya yang bertugas sebagai pegawai stesen, disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Insiden ini adalah di kawasan yang tertutup. Berdasarkan siasatan kami, kedua-dua staf tiada kontak rapat dengan penumpang. Mereka bertugas buat kali terakhir pada 12 dan 13 Disember lepas,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan pihak pengurusan Rapid Rail, selaku operator LRT laluan Kelana Jaya, telah melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan malam tadi, berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu lagi semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua staf terbabit juga diarah menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah tatacara operasi piawai (SOP) KKM.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras ketetapan KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” menurut kenyataan itu.

Pengguna diingatkan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, khususnya memakai pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

– BERNAMA


Pengarang :