Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin (tengah) dan Timbalan Ketua Balai Bomba Damansara, Yusri Saharjo (dua dari kanan) bersama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS4D, Robert Ng Hor Ker (dua dari kiri) memeriksa pili bomba yang baru dipasang di Jalan SS4D/8, Petaling Jaya pada 8 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Bandar Utama agih RM9,000 bantu tukar pili bomba

PETALING JAYA, 8 JAN: Sebanyak RM9,000 disalurkan untuk menukar dua pili bomba lama di kawasan perumahan SSD4 di sini, kata Ahli Dewan Negeri Bandar Utama.

Jamaliah Jamaluddin berkata sebahagian peruntukan diberikan pihaknya dengan kadar segera atas faktor keselamatan penduduk kerana lokasi terbabit berkepadatan tinggi.

“Pada 2017, terdapat lima rumah terbakar, walaupun pili bomba hampir dan kurang 100 meter dari tempat kejadian tetapi tidak berfungsi dan akibatnya kesemua rumah berkenaan tidak dapat diselamatkan.

“Oleh sebab itu, saya tidak mahu kejadian sama berulang dan berbesar hati membantu membaik pulih dua pili bomba ini,” katanya kepada SelangorKini ketika turun padang ke SS4D bersama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga SSD4 (KRTSSD4), Robert Ng Hor Ker dan Ahli Majlis Zon 7, John Leong.

Turut sama, Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Yusri Saharjo dan Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Shahir Aziz.

Jamaliah berkata kos keseluruhan membaiki kedua paip berkenaan berjumlah RM13,000 dan bakinya ditanggung KRTSSD4.

“Kami faham bomba tidak mempunyai peruntukan cukup untuk menyelengara pili bomba ini maka kerajaan perlu proaktif mengeluarkan sebahagian dana kerana ia penting berikutan melibatkan nyawa penduduk,” katanya.


Pengarang :