Kenderaan yang terlibat dalam misi bantuan banjir Majlis Agama Islam Selangor (Mais) ke Temerloh, Pahang pada 15 Januari 2021 mengalami kemalangan mengakibatkan pemandu dan pembantunya tercedera. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Dua peserta misi bantuan banjir Mais ke Temerloh kemalangan

SHAH ALAM, 16 JAN: Dua peserta misi bantuan banjir Majlis Agama Islam Selangor (Mais) ke Temerloh, Pahang menghadapi kemalangan petang semalam.

Pengerusi Mais memaklumkan kemalangan berlaku melibatkan salah sebuah lori yang turut serta dalam konvoi berkenaan.

“Pemandu dan pembantu lori yang cedera telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Berita ini amat mengejutkan namun ujian daripada Allah SWT kepada kita ini tetap perlu diterima dengan redha. Banyakkanlah bersabar,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan di Facebook Mais.

Konvoi misi banjir itu turut disertai kakitangan Mais, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Selangor.

Dilaporkan rombongan berkenaan yang bertolak pagi semalam membawa sumbangan 200 pek makanan kering kepada mangsa banjir di Kampung Baduk dan Kampung Teluk Sentang, Temerloh, Pahang.

Pek makanan kepada 200 keluarga mengandungi beras, tepung gandum, susu pekat, air mineral, biskut dan garam dihantar melalui konvoi berkenaan.


Pengarang :