Umat Islam menjaga jarak fizikal ketika mengerjakan umrah di Masjidil Haram pada 3 Oktober 2020 setelah pihak berkuasa Arab Saudi melonggarkan sekatan susulan Covid-19 di kota suci Mekah, Arab Saudi. Foto REUTERS
PENDAPATRENCANA

Imbauan 2020: Covid-19 ubah ragam dunia

Virus Covid-19 yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada akhir Disember 2019 sebelum merebak ke seluruh dunia memaksa masyarakat dunia mengubah ragam kehidupan.

Paling ketara, pelitup muka kian dilazimi. Selain itu, pelbagai kegiatan dari sektor ekonomi hingga rutin harian disesuaikan dengan norma baharu. Ibadah di Mekah juga terhenti akibat penularan Covid-19 pada akhir Mac.

Sehingga 29 Disember lalu, lebih 80 juta kes direkod di seluruh dunia. Amerika Syarikat (AS) terus mencatat kes tertinggi iaitu hampir 20 juta kes dengan lebih 346,000 kematian.

Tabung uji berlabel vaksin dilihat di depan logo AstraZeneca dalam ilustrasi diambil pada 9 September 2020. Foto REUTERS

Walau ada lebih 100 vaksin giat dibangunkan, terbaru Pfizer dan BioNTech, keberkesanannya belum benar-benar diyakini, sebaliknya ramai bimbang kesan sampingannya. Isu penawar itu kini mencetuskan polemik dunia.

Petugas barisan hadapan di seluruh dunia termasuk Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit. Ibarat wira tidak didendang, ada antara mereka turut dijangkiti ketika bertugas.

Sehingga 29 Disember, Malaysia mencatatkan 108,615 kes lalu membabitkan 457 kematian dan 498 kluster yang dikenal pasti. Kementerian Kesihatan Malaysia terus memantau perkembangan terkini termasuk mengaktifkan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS
2.0 dengan memasang 2,000 katil bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Gelagat seorang kanak-kanak bersama ibunya ketika menunggu giliran untuk saringan Covid-19 bagi penumpang yang tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 26 September 2020. Foto BERNAMA

Sejak September, Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi Covid-19 di Malaysia sehingga merebak ke negeri lain selepas pilihan raya negeri itu pada 26 September. Sehingga 29 Disember lalu, keseluruhan kes di negeri itu 36,461 dengan 260 kematian.

Bilangan kes di Sabah terus mencatatkan peningkatan hingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh negeri itu dilanjutkan lagi mulai 1 Januari sehingga 14 Jan 2021.

Melawan Virus

Selangor sebagai negeri berkepadatan tinggi kerap mencatatkan bilangan kes harian tertinggi di Malaysia ekoran penularan virus kebanyakannya melalui pekerja asing.

Justeru, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) diketuai bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut ditubuh bagi memantau dan mencegah penularan virus di negeri ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA

Mereka dianggotai pakar perubatan antaranya Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid
Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.

Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) juga diperkenal pada 4 Mei bagi menjejak kontak individu positif Covid-19. Dibangunkan lebih awal daripada My Sejahtera, ia dilengkapi ciri peta dan semakan premis bagi memudahkan pengguna memastikan kunjungan mereka selamat.

Saringan Komuniti juga digerakkan ke zon merah sejak April bagi memerangi wabak melalui Klinik Selcare, sebuah anak syarikat kumpulan Selgate Corporation, yang terdiri daripada doktor, jururawat dan pembantu perubatan.

Sebanyak 5,433 sampel diuji, 10 daripadanya disahkan positif Covid-19 melalui pemeriksaan bersasar di enam kawasan pada 11 April hingga 23 April. Melalui inisiatif berkenaan Kerajaan Negeri berjaya mengesan lapan kes tanpa gejala dikesan daripada 10 kes tersebut.

Petugas dari Pejabat Kesihatan Kuala Langat mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas seorang warga asing di Pangsapuri Langat Utama pada 1 Jun 2020. FOTO: BERNAMA

Selangor juga menjadi pelopor saringan secara pandu lalu secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, Petaling, Klang, Shah Alam, Sepang, Hulu Selangor dan Gombak.

Kerajaan Negeri turut melaksanakan saringan secara bersasar sekitar Meru, Klang pada 2 Disember lalu ekoran peningkatan kes mendadak di kawasan itu berpunca dari pekerja kilang Top Glove.

Selain itu, hospital swasta di negeri ini juga menyatakan kesediaan menerima pesakit bukan Covid-19 bagi meringankan beban hospital seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Persetujuan itu hasil perbincangan Selgate Corporation dan Jabatan Kesihatan Selangor.

Kerajaan Negeri juga membantu KKM dengan menyediakan Bas Smart Selangor sebagai kenderaan untuk membawa penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Lapangan Terbang Subang ke pusat kuarantin sejak 3 April. Antara 30 hingga 50 bas disediakan sehari bergantung kepada keperluan semasa.

Pakej Ekonomi

Selangor menjadi negeri paling awal yang mengumumkan insentif khas bagi membantu rakyat yang terjejas melalui pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin pada 20 Mac.

Sebanyak tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, diikuti fasa kedua bagi melengkapkan pakej bantuan ekonomi yang dibentang kerajaan persekutuan.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Fasa kedua pakej meliputi tambahan nilai peruntukan RM272.5 juta membabitkan 17 insentif termasuk mewujudkan Tabung Khas Bantuan Covid-19 membabitkan potongan gaji Dato’ Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri serta anak-anak syarikat kerajaan negeri dengan anggaran jumlah RM8.07 juta.

Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk stesen kuarantin negeri sebagai penempatan individu dalam pemerhatian bagi kluster tabligh dan ketibaan dari luar negara. Skim Peduli Sihat juga ditambah baik dengan peruntukan RM42.5 juta bagi manfaat 85,000 penerima.


Pengarang :