Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP halang akses 1,146 laman cetak rompak sejak 2018

PUTRAJAYA, 4 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menghalang akses ke atas 1,146 laman sesawang cetak rompak sejak tahun 2018.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, 64 laman cetak rompak disekat pada 2018, 438 pada 2019 dan meningkat kepada 644 pada 2020.

“Kejayaan aktiviti halangan akses ke atas laman cetak rompak ini akan terus diperkasakan selain dari tindakan penguatkuasaan secara fizikal,” katanya.

Menurut Azman, usaha menghalang akses kepada laman cetak rompak itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pemain industri penyiaran dan perfileman tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, katanya kajian Asia Video Industry Association (AVIA) sejak 12 bulan lepas mendapati pengguna yang mengakses laman cetak rompak menurun sebanyak 64 peratus, manakala penggunaan peranti penstriman haram (ISD) turut menurun sebanyak 61 peratus.

Azman berkata kajian berkenaan turut menunjukkan sebanyak 55 peratus pengguna menyedari tindakan KPDNHEP menghalang akses ke atas laman cetak rompak yang menyebabkan 49 peratus daripada mereka tidak lagi melayari laman berkenaan.

“Kajian ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus langganan ke atas perkhidmatan penstriman berbayar yang sah serta peningkatan 15 peratus waktu menonton ke atas perkhidmatan berbayar ini,” katanya.

Melalui komitmen dan kerjasama yang baik dengan industri dalam memerangi pelanggaran hak cipta dalam talian di Malaysia, katanya Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menerima sijil dan surat penghargaan daripada AVIA.

“Kaedah yang dilaksanakan oleh Malaysia hari ini turut dijadikan contoh dan ikutan kepada negara-negara lain terutamanya di Asia Tenggara melalui sesi kerjasama pihak AVIA dengan negara-negara serantau,” katanya.

Azman turut mengingatkan aktiviti pengedaran cetak rompak melalui penjualan cakera optik, cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) atau cakera video digital (DVD) secara fizikal mahu pun secara dalam talian adalah kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan cetak rompak atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

– BERNAMA


Pengarang :