Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Md Yusop (kanan) bersama kakitangannya mengunjungi rumah wanita yang ditahan di sebuah pasar raya kelmarin. Foto: Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS serah bantuan kepada wanita terpaksa curi makanan, ubat

SHAH ALAM, 22 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan wang tunai kepada keluarga wanita yang ‘ditangkap’ mencuri ubat dan makanan di sebuah pasar raya dekat Petaling Jaya kelmarin.

Agensi itu dalam kenyataan berkata sumbangan RM500 dan makanan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Md Yusop di rumah wanita berkenaan semalam.

“Lanjutan kisah ibu yang dilaporkan mencuri untuk anak-anaknya kelmarin, kami telah ke rumah beliau untuk memahami isu sebenar yang berlaku.

“Suaminya menerangkan, si isteri tidak berniat langsung untuk mencuri. Namun, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan si suami yang bergaji hari mula terjejas,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Kisah seorang ibu gagal membayar pelekat Kool Fever, sosej dan kek berjumlah RM58 tular selepas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menyerahkan semula barangan berkenaan kepada wanita itu untuk anak-anaknya semalam.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menziarahi wanita berkenaan dan menawarkan bantuan RM200 menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).


Pengarang :