Orang awam mendengar Pengumuman Khas Darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari 2021 melalui peranti digital. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mahkamah, aktiviti ekonomi tetap berfungsi ketika darurat – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Perdana menteri memberi jaminan badan kehakiman terus berfungsi menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri  urusan mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pengumuman Khas Darurat yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau berkata aktiviti ekonomi juga terus berfungsi tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa.

“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu,  beliau menjelaskan kepada pihak berkepentingan bahawa Malaysia masih terbuka untuk perniagaan dalam menghadapi masa mencabar ini.

“Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan.

“Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik,” kata beliau.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

 


Pengarang :