Petugas Sunway Medical Centre, Petaling Jaya melakukan saringan Covid-19 melalui Cov Shield kepada orang ramai yang hadir untuk saringan bersasar pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia rekod jumlah tertinggi 3,027 kes Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Genap seminggu memasuki tahun 2021, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 3,027 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 128,465 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes Covid-19 yang sembuh bagi tempoh sama adalah 2,145 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 102,723 kes.

“Daripada keseluruhan kes baharu, kes penularan tempatan adalah sebanyak 3,021 kes manakala kes import adalah enam. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 25,221 kes,” katanya menerusi Twitter rasmi beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada keseluruhan kes baharu yang dicatatkan, enam daripadanya merupakan kes import manakala penularan tempatan sebanyak 3,021 kes.

Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,103 kes mewakili 36.4 peratus daripada jumlah dengan 1,043 kes (94.6 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Selangor di tempat kedua dengan sebanyak 706 kes (23.3 peratus) dan seterusnya Sabah sebanyak 493 kes (16.3 peratus).

“Sebanyak 63 kes (2.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ia melibatkan kluster Penjara Jalan Harapan (35 kes), kluster Damai Pelangi (16 kes), kluster Tembok Gajah (4 kes), kluster Tembok Choh (4 kes), kluster Tembok Mempaga (3 kes), dan kluster Pagar Siput (1 kes),” kata kenyataan itu.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 142 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 63 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata lapan kematian melibatkan empat wanita dan empat lelaki dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu di Malaysia sebanyak 521 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiga kematian dilaporkan di Selangor, sementara di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan satu kematian.

Tujuh daripada kematian itu melibatkan warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara, dengan lingkungan umur 38 hingga 83 tahun, katanya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :