Orang ramai melakukan ujian calitan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda sasar 2,000 orang

SHAH ALAM, 7 JAN: Seramai kira-kira 2,000 orang dijangka menjalani ujian Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda Seksyen 25 di sini yang berakhir esok.

Pengurus Klinik Selcare berkata sasaran itu mengambil kira jumlah kehadiran memberangsangkan setakat pagi tadi apabila mencecah 300 orang yang menggambarkan kesedaran orang ramai terutama mereka berisiko.

“Golongan yang mahu disaring sudah dimaklumkan lebih awal supaya mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi melicinkan proses calitan.

“Justeru, kita menyeru sesiapa sahaja di sekitar Seksyen 25 Shah Alam datang beramai-ramai bersama ahli keluarga untuk buat saringan percuma,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui di perkarangan Dewan Azalea di sini hari ini.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dikendali seramai 35 petugas kesihatan Klinik Selcare dan dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Semalam, Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi Covid-19 dalam negara selepas merekodkan 965 kes termasuk satu jangkitan import, lebih separuh daripadanya dicatat di Klang.


Pengarang :