Selangorkini
Keadaan banjir di Kampung Selisek, Hulu Selangor pada 3 Januari 2021. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir empat negeri termasuk Selangor meningkat

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Banjir di Perak, Pahang, Terengganu dan Selangor mencatatkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini, manakala Johor dan Kelantan sedikit menurun.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,237 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,011 orang petang semalam melibatkan empat buah daerah dengan kesemuanya ditempatkan di 13 pusat pemindahan.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, daerah paling teruk terjejas ialah Muallim selepas Kampung Slim Village, Kampung Balun dan Kampung Kuala Slim ditenggelami air sehingga menyebabkan 554 penduduk terpaksa berlindung di empat buah pusat pemindahan.

Portal info banjir.water.gov.my memaklumkan setakat ini hanya Sungai Plus di Kampung Lintang dalam daerah Kuala Kangsar mencapai paras bahaya iaitu 54.93 meter manakala bacaan Sungai Perak di Kampung Gajah di Perak Tengah kini pada paras amaran apabila mencecah 6.68 meter.

Penduduk Kampung Sungai Kalong Ehsah Mohd Ali, 71, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) dibantu anggota bomba dan penyelamat ketika berpindah selepas rumahnya dilanda banjir ketika tinjauan di Pekan, Pahang pada 4 Januari 2021. Foto BERNAMA

Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat kepada 17,104 orang berbanding 13,626 mangsa petang semalam yang ditempatkan di 242 pusat pemindahan di 10 daerah dan Bera menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan setakat pagi ini Maran merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,561 orang diikuti Kuantan (3,774), Lipis (2,182 ), Jerantut (1,953), Raub (1,862), Temerloh (1,228), Rompin (954), Pekan (279), Bentong (198) dan Bera (113).

Sementara itu, pemegang konsensi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataannya menyatakan Km113 di Lanchang ditutup malam tadi kerana dinaiki air, manakala Km84.6-Km84.7 masih ditutup sejak Ahad lepas, bagaimanapun limpahan air di lokasi terbabit semakin surut pagi ini.

Sembilan sungai di Pahang juga telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Bukit Betong dan Jeram Bungor, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Kuantan dan Sungai Lepar, di sini, manakala paras Sungai Pahang di beberapa lokasi juga melepasi paras bahaya iaitu di Sungai Yap, Jerantut; Lubuk Paku, Maran; Kuala Sungai Chini dan Serambi di Paloh Hinai di Pekan.

Situasi banjir di dua daerah di TERENGGANU tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa hanya meningkat sedikit kepada 1,074 orang setakat 8 pagi tadi berbanding 1,044 orang petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata peningkatan mangsa itu disebabkan penambahan dua lagi pusat pemindahan di Kemaman menjadikan jumlah terkini pusat pemindahan yang beroperasi 12 buah.

Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditenggelami banjir selepas hujan lebat turun lebih tiga hari ketika tinjauan udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Maran, Pahang pada 4 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Di Kemaman, jumlah mangsa meningkat kepada 920 orang berbanding 844 orang sebelum ini manakala di Dungun pula, jumlah mangsa menurun kepada 154 orang berbanding 200 orang petang semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Banjir di SELANGOR juga tidak menunjukkan perubahan yang banyak dengan 183 mangsa masih ditempatkan di empat pusat pemindahan melibatkan dua daerah setakat 8 pagi ini.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir ketika dihubungi berkata bagi daerah Hulu Bernam, sebanyak 128 mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan manakala di Kuala Selangor 55 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang.

Beliau berkata keadaan cuaca di Hulu Bernam dilihat baik menyebabkan air banjir mulai surut namun mangsa masih tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setakat ini.

Di KELANTAN, banjir yang melibatkan jajahan Gua Musang semakin pulih dengan hanya 78 mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan setakat 8 pagi tadi berbanding 322 orang petang semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, daripada jumlah itu seramai 48 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2, Dewan Orang Ramai Serian (19) dan Dewan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Bertam Baru (11).

Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my, lima sungai di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang merekodkan bacaan 58.90 meter (amaran 57.50 m), Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 31.24 m (amaran 31.00 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.97 (amaran 22.50 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pada 14.41 m (amaran 14 m), dan Sungai Golok di Jenob 22.56 m (amaran 22.50 m).

Situasi Jalan Nitar Utama Mersing yang ditutup kepada semua kenderaan ketika tinjauan banjir di kawasan Mersing, Johor pada 4 Januari 2021. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di JOHOR menurun sedikit kepada 5,485 orang setakat 8 pagi ini berbanding 5,524 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,707 mangsa, diikuti dengan Kluang (1,950) dan Mersing (506).

“Jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka setakat ini adalah sebanyak 53 dengan 23 pusat pemindahan di Kota Tinggi, Kluang (12), Johor Bahru (1), Mersing (6), Segamat (6), Pontian (3) dan dua di Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya beberapa jalan masih ditutup seperti Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Risda), Jalan Kota Tinggi- Kluang (Tun Habab), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Jambatan Sungai Semalok) dan Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah (Johor Bahru) akibat jambatan runtuh serta Jalan Nitar Utama- Kluang di Mersing.

Hingga kini jumlah kematian lemas akibat banjir di negeri ini ialah seramai tiga orang.

-BERNAMA

 


Pengarang :