Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka alami pembetulan teknikal

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka mengalami pembetulan teknikal pada minggu depan dengan prospek eksport yang rendah.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata kontrak niaga hadapan diramal didagangkan di antara RM3,200 dan RM3,300 setiap tan minggu hadapan.

“Permintaan itu juga akan berkurangan berikutan cuti umum Tahun Baharu Cina pada bulan depan,” katanya kepada Bernama.

Menurut penyelidik kargo Societe Generale de Surveillance eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-20 Januari turun 43.3 peratus kepada 572,910 tan metrik daripada 1,010,653 tan metrik bagi 1-20 Disember.

Sementara itu, juru ukur kargo Intertek Testing Services juga menunjukkan eksport produk minyak sawit negara bagi 1-20 Januari jatuh 43.1 peratus kepada 607,900 tan daripada 1,067,670 tan bagi 1-20 Disember.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata eksport bagi tempoh 1-25 Januari mungkin lebih rendah manakala data pengeluaran akan datang daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan pengumuman dari Indonesia mengenai cukai eksport Februari akan menyokong harga MSM untuk kekal pada paras melebihi paras semasa.

Pada Khamis, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi meramalkan pengeluaran MSM akan meningkat kira-kira tiga peratus kepada 19.7 juta tan tahun ini daripada 19.14 juta tan pada 2020.

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ia berdasarkan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta cuaca kering yang telah menjejaskan pengeluaran buah tandan segar (FFB) dan MSM.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga MSM kebanyakannya rendah berikutan data eksport yang lemah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Februari 2020 merosot RM33 kepada RM3,583 satu tan, Mac 2021 jatuh RM3 kepada RM3,420 satu tan, April 2021 berkurangan RM40 kepada RM3,282 satu tan dan Mei 2021 jatuh RM47 kepada RM3,198 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 391,143 lot daripada 356,133 lot yang direkodkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 245,194 kontrak daripada 260,960 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, harga MSM untuk Mac Selatan turun RM197 kepada RM3,630 satu tan.

– BERNAMA


Pengarang :