ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada peniaga di Medan Selera MBSA Seksyen 2, Shah Alam pada 3 Disember 2020. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PKP: DUN Kota Anggerik teruskan program bantuan makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Program Bank Makanan yang diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu akan diteruskan.

Ahli Dewan Negerinya berkata rancangan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan berdasarkan lebih 3,000 keluarga menerima bantuan tersebut.

Bagaimanapun, Najwan Halimi menjangka bilangan penerima berkurang tahun ini berikutan kelonggaran kepada rakyat untuk berniaga.

“Penerimaan terhadap program kita setakat ini agak positif namun saya berasakan ada penurunan permohonan berbanding tahun lalu.

“Namun, jika ada keperluan, penduduk boleh ke pejabat DUN dan kita akan cuba bantu meringankan beban mereka dalam tempoh PKP ini,” katanya selepas meninjau program tersebut bersama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad di Klinik Selcare, Seksyen 13, di sini hari ini.

Najwan berkata pihaknya akan membantu menyumbang komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 kepada ahli parlimen negeri ini melalui program Mesra Rakyat.


Pengarang :