AGENDAEKONOMINASIONAL

LBI Capital majukan hartanah GDV RM220 juta dan RM240 juta

KUALA LUMPUR, 17 FEB: LBI Capital Bhd bercadang untuk melancarkan pembangunan hartanah dalam dua fasa pada suku keempat 2021 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM220 juta dan RM240 juta.

Pemaju hartanah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata fasa pertama merangkumi 17 unit kedai pejabat, 156 unit Rumah Selangorku (RSKU) dan 140 unit rumah teres dua tingkat, manakala fasa kedua terdiri daripada 224 unit rumah teres dua tingkat.

“Tertakluk kepada keadaan pasaran, keseluruhan projek dijangka siap dalam masa lima tahun.

“Projek pembangunan ini akan dibiayai oleh gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank,” katanya.

Menurut LBI Capital, kos pembangunan kasar (GDC) adalah kira-kira RM120 juta, yang mana GDV antara kedua-dua fasa dibahagikan sama rata tetapi GDC dalam fasa pertama adalah lebih tinggi.

Pada 9 Februari 2021, syarikat itu bercadang mengambilalih Rising Alliance Sdn Bhd (RASB) dan memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Jernih Kejora Sdn Bhd (vendor) bagi mendapatkan tanah pegangan bebas berkeluasan 13.76 hektar di Kuala Selangor dengan tunai sebanyak RM3 juta.

Syarikat itu ketika mengulas mengenai perintah pembangunan (DO) berkata ia akan berusaha untuk mendapatkan penukaran tanah diikuti dengan kelulusan pelan pebangunan, permit iklan dan lesen pembangunan menjelang akhir suku ketiga 2021, memandangkan DO yang dipinda itu diterima pada 25 Januari lepas.

Katanya, DO pertama diperoleh pada 9 Jun 2020, terdiri daripada 331 unit rumah teres dua tingkat, 192 unit pangsapuri bertingkat tinggi RSKU jenis A, B C (dalam perkadaran sama) serta 17 unit kedai pejabat dua tingkat.

“Bagaimanapun, vendor telah memohon untuk meminda DO pertama dan memperoleh kelulusan pada 25 Jan 2021 yang kini terdiri daripada 364 unit rumah teres dua tingkat, 156 unit rumah RSKU Type E (rumah bandar tiga tingkat) dan 17 unit kedai pejabat dua tingkat,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :