Penduduk kampung mengharungi banjir menggunakan sampan di Kampung Hulu Serian, Serian Sarawak pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Sarawak turun 934, 14 PPS beroperasi

KUCHING, 6 FEB: Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga yang melanda Sarawak sejak Selasa lepas menyaksikan penurunan kepada 934 orang petang ini berbanding 1,070 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang masih beroperasi setakat 5 petang ini juga menurun kepada 14 berbanding 18 buah pada awal pagi tadi.

Daripada 14 PPS itu, empat dibuka di Simunjan, satu di Samarahan dan sembilan di Serian manakala PPS melibatkan daerah Tatau telah ditutup.

Setakat ini, Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Kuching kekal menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan 701 mangsa daripada 234 keluarga.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Hulu Serian kira-kira 65 kilometer dari bandar Kuching mendapati walaupun air sudah mula surut secara perlahan namun banjir yang turut melanda kampung itu sejak pagi Rabu lepas dijangka tidak akan reda sepenuhnya dalam masa terdekat.

Penolong Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu Norita Osman berkata keadaan air didapati kian surut secara perlahan namun hujan masih lagi berlanjutan.

Keadaan hujan lebat yang tidak menentu sejak beberapa hari lepas menyebabkan situasi banjir di Sarawak berlanjutan sehingga kini.

– BERNAMA


Pengarang :