Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: MMA gesa tambah baik urus kes ringan, kontak rapat

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa supaya Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penambahbaikan segera dalam tatacara menangani kes-kes ringan Covid-19 (kategori 1 dan 2) serta kontak rapat.

Presidennya Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy dalam satu kenyataan berkata ia perlu bagi menangani kekeliruan di samping menghalang kemungkinan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin di rumah yang boleh membawa kepada peningkatan kepada jumlah jangkitan dalam komuniti.

“MMA sekali lagi menggesa KKM supaya mengguna pakai kembali dasarnya sebelum ini yang berkaitan ujian terhadap semua kontak rapat. Dasar semasa KKM adalah untuk membuat ujian hanya terhadap kontak rapat kes bergejala.

“Dalam langkah pencegahan, tindakan hanya mengasingkan mereka adalah tidak memadai. Status kesihatan semua kontak rapat perlu dikesan awal, jika tidak, ia boleh membawa risiko penularan jangkitan dalam kalangan anggota keluarga sesebuah rumah dan dalam komuniti sekiranya mereka melanggar peraturan kuarantin,” katanya.

Kenyataan itu turut menggesa kerajaan meningkatkan usaha mendidik orang ramai mengenai SOP kuarantin di rumah dan peranan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) KKM, dengan menerbitkan maklumatnya di semua media, terutama di kawasan berpendudukan tinggi, dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang mudah, bagi memastikan ia difahami semua rakyat Malaysia.

MMA turut mengesyorkan supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan usaha memastikan pesanan-pesanan KKM berhubung CAC dan SOP kuarantin rumah dapat disampaikan dengan meluas di semua peringkat.

“Kita khuatir tidak semua individu akan bertanggungjawab dalam melaksanakan kuarantin di rumah dengan serius, sehubungn itu kita perlu menggesa kerajaan untuk menangani perkara ini dengan segera dan membuat pelbagai penambahbaikan yang perlu, jika tidak kita mungkin akan lihat kes-kes Covid-19 terus melonjak dalam masa terdekat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :