Sukarelawan Joanne Lee, 60, menulis kaligrafi cina di atas tanglung yang mengandungi mesej nasib baik sempena Tahun Baharu Cina di Shah Alam Buddhist Society, Shah Alam pada 12 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Masyarakat Tionghoa diminta sabar harungi cabaran pandemik

SHAH ALAM, 13 FEB: Dato’ Menteri Besar mengajak semua rakyat terutama masyarakat Tionghoa di negeri ini bersabar mengharungi cabaran baharu berikutan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kesukaran kehidupan serta sambutan Tahun Baharu Cina yang terpaksa dirai dalam suasana norma baharu mampu ditempuhi.

“Tahun baharu ini menjadi cabaran baharu bagi kita semua dan saya percaya jika kita terus bersabar, semua ini mampu dilalui,” katanya ketika program sempena Tahun Baharu Cina 2021 peringkat negeri dalam talian malam tadi.

Masyarakat Tionghoa pertama kali menyambut perayaan itu dalam suasana PKP berikutan Covid-19 melanda negara sekitar Mac tahun lalu, tidak lama selepas perayaan itu sebelum ini.

Amirudin dalam ucapan ringkas juga memahami kesukaran mereka menyambut perayaan salam suasana pematuhan tatacara operasi piawai termasuk penjarakan fizikal.

“Biasanya perayaan ini disambut dengan masyarakat Tionghoa pulang ke kampung untuk bersama-sama dengan keluarga dan sanak-saudara.

“Tidak pernah terfikir kita akan begitu sukar untuk kembali bersatu bersama keluarga, (namun) kita semua perlu bersikap optimis dalam menyambutnya,” katanya.

Selain itu, Amirudin turut berazam meneruskan pelbagai program kebajikan dan pembangunan ekonomi negeri demi memenuhi harapan seluruh lapisan rakyat.

Beliau juga mahu segala kekurangan tahun lalu diteliti dan diatasi seterusnya negeri dapat dibangunkan dengan lebih cemerlang selaras misi Selangor Negeri Pintar menjelang 2025.


Pengarang :