Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama petugas sempena lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang pada 19 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: POIS mampu kekang penularan Covid-19 tanpa tutup kilang

SHAH ALAM, 8 FEB: Langkah memperkenalkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dalam sektor pengilangan mampu mengesan lebih banyak kes Covid-19 tanpa menghentikan operasi kilang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem itu merupakan langkah penyelesaian untuk industri terus berjalan tetapi dalam masa sama kes positif dapat dikenal pasti.

“Setiap dua minggu, kita akan lakukan saringan kepada pekerja dan yang positif akan dikuarantin malah kita sarankan beberapa SOP (tatacara operasi piawai) untuk kilang teruskan operasi,” katanya menerusi siaran langsung Facebook malam tadi.

Beliau menjelaskan ramai pengilang enggan menjalani program berkenaan susulan risau perniagaan ditutup sekiranya pandemik dikesan dalam kalangan pekerja.

“Bagaimanapun ramai yang takut. Sepatutnya 800,000 pekerja asing di beberapa negeri termasuk Selangor wajib lakukan saringan namun hanya 200,000 sahaja menjalaninya. Ini fakta yang menakutkan,” katanya.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan yang mendaftar POIS perlu menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi, merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua SOP dipatuhi.

Selain itu platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja serta memantau komponen POIS dan menganalisis risiko pekerja bagi melaraskan kekerapan ujian saringan.


Pengarang :