Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove Meru, Klang pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Indeks keluaran industri naik 1.7 peratus pada Dis 2020

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 1.7 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh indek pembuatan sebanyak 4.1 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun, indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menyusut 5.4 peratus dan 0.2 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.1 peratus pada bulan Disember 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus pada bulan November 2020.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.4 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.7 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.6 peratus), katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ia menambah output sektor perlombongan menguncup 5.4 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya dan kemerosotan itu disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-9.0 peratus) serta indeks gas asli (-2.5 peratus).

Output sektor elektrik menurun sedikit 0.2 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, IPP bagi suku tahun keempat 2020 jatuh 0.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya dan ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam perlombongan (-10.5 peratus) dan elektrik (-0.6 peratus).

Bagaimanapun, sektor pembuatan merekodkan peningkatan 2.8 peratus.

IPP bagi keseluruhan tahun 2020 merekodkan penyusutan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh semua indeks iaitu indeks perlombongan (-9.7 peratus), indeks elektrik (-3.7 peratus) dan indeks pembuatan (-2.7 peratus).

– BERNAMA


Pengarang :