Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengupas perancangan ekonomi selepas wabak Covid-19 pada forum Ekonomi Pasca Pandemik: Ke Mana Hala Tuju ? yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor pada 23 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Putrajaya disaran cipta bidang baharu untuk pulihkan ekonomi

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan persekutuan disaran melaksanakan projek mega untuk rakyat bagi memacu perkembangan ekonomi pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata projek baharu seperti pengangkutan dan jalan raya luar bandar boleh merancakkan industri pembinaan dan pelbagai sektor sokongan lain.

“Sebagai contoh industri aeroangkasa Malaysia yang diperkenalkan pada 1970 telah merangsang ekonomi dan Selangor mendapat manfaat besar apabila hampir 70 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di negeri ini.

“Selain itu projek kereta Proton Saga yang dilancarkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1980 pula berjaya mengeluarkan negara daripada belenggu kemelesetan ekonomi,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian menerusi forum bertajuk Ekonomi pascapandemik: Ke mana hala tuju? secara dalam talian di Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor serta YouTube SelangorTV hari ini.

Perbicangan turut disertai dua tokoh ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan Dr Nungsari Ahmad Radhi manakala Tan Sri Johan Jaaffar yang juga ahli Lembaga Pengarah Media Selangor menjadi pemudah cara.

Amirudin berkata Selangor dan negara berdepan cabaran besar untuk segera memulihkan ekonomi serta mengelak ketinggalan dengan pesaing serantau.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan amat penting kepada negara dan rakyat, justeru pihak bertanggungjawab perlu merancang serta merencana proses suntikan dengan teliti,” katanya.


Pengarang :