Nickelodeon Lost Lagoon antara tarikan di Sunway Lagoon, Subang Jaya (gambar hiasan). Foto Sunway Lagoon
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Tiada cukai hiburan taman tema negeri sepanjang tahun

SHAH ALAM, 2 FEB: Kerajaan Selangor memberi pengecualian penuh duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema seluruh negeri berkuat kuasa 18 Mac 2020 hingga 31 Disember tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah dengan kesan kewangan sebanyak RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cukai itu juga dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.

“Diharapkan kelangsungan industri dan perniagaan akan lebih terjamin serta nasib pekerja terutama sektor pelancongan lebih terbela dengan kelonggaran ini.

“Kerajaan Negeri akan terus mencari penyelesaian terbaik bagi membantu meringankan kesusahan rakyat pada saat getir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin menjelaskan pengusaha taman tema adalah salah satu pemain utama dalam merancakkan industri pelancongan yang juga memberi peluang pekerjaan kepada belia.

Beliau berkata perkembangan industri tersebut turut mempunyai kesan berganda ke atas sektor lain seperti agensi pelancongan, perhotelan dan pengangkutan.

“Pengusaha taman tema memerlukan kos pelaburan semula yang tinggi berbanding pengusaha premis hiburan lain meliputi pengubahsuaian, penambahbaikan fasiliti dan tarikan baharu,” katanya lagi.

 


Pengarang :