Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Operasi taska anak petugas hadapan sedia disambung

SHAH ALAM, 19 FEB: Kerajaan Negeri sedia menyambung operasi perkhidmatan pusat jagaan sementara anak petugas barisan hadapan bergantung situasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pegawai eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berkata perkhidmatan percuma menerusi Inisiatif Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan yang bermula 25 Januari lalu dijadual tamat akhir Mac ini.

Norita Mohd Sidek menjelaskan perkara itu akan dipertimbangkan sebagai menghargai sumbangan golongan terbabit yang berjuang memerangi pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Mereka (petugas hadapan) juga mempunyai tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada keluarga. Justeru, sokongan langsung harus diberi supaya mereka kekal fokus dalam mendepani wabak.

“Kami (MBI) mewakili Kerajaan Negeri berterima kasih kepada semua petugas hadapan kerana memberi perkhidmatan terbaik dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat di Selangor,” katanya selepas menyantuni anak-anak barisan hadapan di Bangunan Darul Ehsan di sini semalam.

Beliau menambah pusat jagaan di 12 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) termasuk hospital awam dan beberapa premis sementara menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan anak kecil.

Katanya pusat berkenaan juga dibekalkan dengan peralatan pembersihan dan saringan kesihatan bagi menjamin keselamatan anak-anak serta sukarelawan.

“Aktiviti perkembangan bagi kanak-kanak turut dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan perkembangan selain tidak mengabaikan aspek pendidikan,” katanya.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif tersebut secara percuma untuk tempoh dua bulan bagi meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor yang menelan belanja RM1 juga bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan seluruh negeri.


Pengarang :