Cikgu Farah Hanim Abdul Majid memasang kod bar pada beg Qaireen Qeesya Mohd Nasir bertujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan murid pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid Tahun Satu hingga Empat di Sekolah Putrajaya Presint 9 (1) pada 22 Julai 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN minta KPM tidak ‘pukul rata’ buka sekolah, cadang beri kuasa autonomi

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta tidak membuat keputusan ‘pukul rata’ terhadap pembukaan sekolah memandangkan masih terdapat kawasan dalam kategori zon merah.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata KPM juga disaran memberi kuasa autonomi kepada pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta lembaga sekolah sekiranya tidak membuka sekolah ekoran peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Kami sedar kelemahan dan kekangan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah. Susulan itu pembukaan sekolah harus mengambil kira status seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Ramai ibu bapa serta guru mempersoalkan alasan sekolah dibuka ketika pandemik belum surut dan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu terdiri dari Ahli Parlimen Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawanga, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching serta Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom.

Semalam Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan tahun dua.

Diikuti 8 Mac untuk pelajar tahun tiga hingga enam manakala sekolah menengah bermula pada 4 dan 5 April.

Jadual berkenaan terpakai kepada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian.


Pengarang :