Pelajar SMK Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti pembelajaran dalam talian di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting ketika tinjauan pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Portal eptrs.my mudahkan pelajar, lebih yakin duduki SPM

BANTING, 5 FEB: Kaedah menjawab soalan peperiksaan dikongsi guru pakar melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) meningkatkan keyakinan pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir bulan ini.

Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, berkata strategi didedahkan tenaga pengajar berkonsep paparan video dalam laman sesawang pendidikan eptrs.my memudahkan menjawab soalan dengan tepat serta berkesan, mengikut piawaian semasa peperiksaan.

“Sebelum sistem ini diperkenal, saya hanya bergantung pada buku rujukan tetapi ada beberapa informasi tidak jelas dan memerlukan tunjuk ajar secara bersemuka.

“Bagaimanapun masalah itu diatasi selepas wujudnya portal ini yang sedikit sebanyak membantu cara menjawab dengan mudah dan isi kandungan setiap subjek mudah difahami, lebih-lebih lagi terdapat ruang komen untuk meninggalkan maklum balas berkaitan video dipaparkan,” katanya.

Portal eptrs.my menyediakan sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM

Mohamad Ikwan Adam, pelajar sains komputer Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom menjelaskan walau menggunakan platform itu kurang dua bulan namun banyak pengetahuan baharu diperoleh menerusi penerangan ringkas diberi selama enam jam bagi setiap mata pelajaran.

Anak kedua daripada tiga beradik berkata pembelajaran secara percuma itu turut membantu daripada aspek pengurusan masa dan bersedia menempuh SPM selepas tertangguh tahun lalu akibat penularan Covid-19.

“Memandangkan saya lemah dalam penulisan bahasa Inggeris, jadi perubahan ketara dapat dilihat apabila boleh menulis dengan lebih baik mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Portal tersebut antara inisiatif disediakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah untuk SPM manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia menunda tarikh peperiksaan SPM dan STPM bagi sesi 2020 kepada 22 Februari dan 8 Mac tahun ini. Turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.


Pengarang :