Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail menjalani saringan Covid-19 ujian pantas antigen (RTK-Ag) selepas meninjau program saringan komuniti percuma secara bersasar di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Saringan guna RTK-Ag dapat keputusan dalam tempoh 24 jam

SHAH ALAM, 17 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dan keputusannya diperoleh dalam tempoh 24 jam.

Koordinator Pasukan Petugas Covid-19 Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) berkata hasil keputusan ujian dimaklumkan menerusi aplikasi Selangkah.

“Sekiranya ada yang positif, kami akan maklumkan kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mereka ambil tindakan lanjut.

Koordinator Task Force Covid-19 Imaret, Dr Ahmad Munawwar Helmi

“Jadi, kepada individu yang mengambil ujian saringan tidak perlu susah hati kerana semua tatacara operasi piawai (SOP) adalah mengikut Kementerian Kesihatan (KKM),” kata Dr Ahmad Munawwar Helmi.

Beliau ditemui ketika Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 19.

Program yang mendapat kerjasama Klinik Selcare itu turut dibantu 11 petugas dari IMARET.

Dr Ahmad Munawwar turut memaklumkan IMARET yang juga badan bukan kerajaan (NGO) khusus dalam bidang perubatan itu membantu Klinik Selcare melaksanakan saringan komuniti di Selangor sejak tahun lalu.

Menurutnya, antara yang terlibat ialah doktor, jururawat dan mahasiswa lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang perubatan.

“Kami turut membantu operasi saringan Covid-19 di Sabah, Pusat Penilaian Covid (CAC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan klinik-klinik kesihatan,” katanya.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenal saringan secara pandu lalu.


Pengarang :