Pelajar tingkatan lima, Nur Ain Fatihah Mohd Arshad mengulangkaji pelajaran menerusi DidikTV di kediamannya pada 17 Februari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

DidikTV permudah PdPR, terima sambutan positif

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kini lebih mudah dengan saluran khusus TV pendidikan secara terestrial, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula bersiaran hari ini.

Bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, murid dan ibu bapa boleh ‘menonton sambil belajar’ menerusi program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM yang disiarkan menerusi saluran itu serta berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga Tingkatan 6.

Presiden Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul Kuala Lumpur Zainoddin Ramelan berkata DidikTV merupakan wadah yang baik untuk membantu kelancaran PdPR agar murid tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

“Ini sekali gus membantu ibu bapa dan anak-anak yang mempunyai halangan seperti pemilikan peranti, masalah kesalinghubungan Internet, tidak mempunyai kemahiran teknologi maklumat (IT) dan sebagainya untuk belajar di rumah.

“Tempoh siaran DidikTV yang panjang juga dilihat dapat mempermudah dan menggalakkan proses pembelajaran anak-anak manakala ibu bapa juga boleh turut serta memantau dan membantu anak mereka,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Saedah Siraj berkata saluran khusus TV pendidikan adalah bertepatan dengan keperluan masa ini, apabila sesi PdP tidak dilaksanakan secara bersemuka dan memerlukan alternatif yang berkesan bagi PdPR.

“Cara yang terbaik adalah menerusi televisyen kerana bilangan capaian pembelajaran atau jumlah pelajar yang mengikuti pembelajaran menerusi televisyen adalah lebih tinggi. Kemungkinan pelajar yang tidak mempunyai televisyen di rumah juga adalah lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan warga pendidik juga bersetuju dengan penubuhan DidikTV sebagai alternatif yang lebih baik, memandangkan terdapat halangan dalam usaha mengguna pakai teknologi seperti kelas dalam talian dan aplikasi mudah alih telefon bimbit untuk PdPR, sebelum ini.

Beliau mencadangkan persembahan saluran televisyen itu perlu menarik penonton atau murid, bertepatan mengikut peringkat umur dan pengisian subjek.

“Persembahan atau penyampaian yang menarik adalah lebih berkesan untuk proses PdP murid, sebagai contoh, penampilan watak atau pelakon yang dilatih untuk mengajar subjek tertentu pasti membantu pembelajaran.

“Contoh lain, subjek sejarah bagi sekolah menengah juga boleh disampaikan menerusi filem atau video. DidikTV boleh dirancang dan disusun dengan cara yang lebih menarik bagi pedagogi iaitu gurunya serta penyampai untuk kelancaran PdP,” katanya.

Tidak menolak kemungkinan sebilangan murid tidak dapat menguasai pembelajaran menerusi DidikTV dan menyifatkannya sebagai proses transisi untuk murid menyesuaikan diri, beliau berkata ibu bapa dan guru juga berperanan membantu murid dalam proses pembelajaran dan penguasaan subjek.

DidikTV yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, turut menyiarkan program bercorak didik hibur (edutainment), kandungan yang dihasilkan oleh murid dan kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid.

Saluran itu yang kali pertama diperkenalkan, menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI, merupakan antara usaha berterusan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan akses pendidikan di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :