Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau suasana program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan Komuniti Covid-19 diteruskan, sasar 50,000 penduduk jalani ujian

PETALING JAYA, 21 FEB: Program saringan bersasar percuma bagi mengekang penularan Covid-19 akan diteruskan dengan jangkaan 50,000 penduduk negeri ini terlibat.

Dato’ Menteri Besar berkata tumpuan meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka melakukan ujian itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan langkah itu bagi mengurangkan perebakan kes dan mengesan individu tidak bergejala yang banyak dilaporkan sebelum ini.

“Setakat ini kehadiran orang awam antara 500 hingga 700 bagi setiap program dan hari ini sahaja kita berjaya kesan lima kes positif,” katanya ketika meninjau proses saringan di Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya di sini.

Sementara itu, Pengurus Operasi Selcare Mohd Noor Md Nasir memaklumkan empat program saringan akan berlangsung minggu depan melibatkan Shah Alam, Klang, Puchong dan Petaling Jaya.

Menurutnya, lokasi tersebut ialah Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28 dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang, Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang.

“Selain itu, Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong Indah dan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya PJS 2C/6, Taman Dato Harun,” katanya.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri bagi membendung penularan wabak.


Pengarang :