Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) dan skim pembiayaan Go Digital secara langsung menerusi Facebook Media Selangor dan Hijrah Selangor pada 10 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor sedia pinjaman asas, bantu peniaga beli gajet

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Negeri melancarkan skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan Go Digital khusus membantu usahawan berdepan tempoh sukar akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata skim NaDi bertujuan membantu mereka yang berhasrat atau baru memulakan perniagaan dengan tawaran pembiayaan antara RM 1,000 hingga RM 5,000.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari skim Go Digital pula akan membantu usahawan sedia ada melonjak perniagaan mereka ke arah digitalisasi.

“Go Digital memberi peluang kepada peniaga menyesuaikan diri dengan platform digital menerusi empat cara iaitu bantuan sistem, peralatan, pemasaran dan latihan yang dipantau syarikat peneraju dilantik,”
katanya.

Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika melancarkan skim NaDi dan Go Digital menerusi Facebook hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya sentiasa berusaha membantu rakyat mendepani cabaran pendemik termasuk merangka program khusus untuk membantu usahawan.

“Pelaksanaan PKP 2.0 menuntut beberapa inisiatif dilaksanakan secepat mungkin atas keperluan membantu golongan peniaga kecil, penjaja dan usahawan terjejas sekaligus bersama-sama memacu agenda digitalisasi Selangor,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan skim NaDi dengan jumlah peruntukan awalan sebanyak RM10 juta yang bakal membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000.

Skim tersebut menyasarkan 3,000 penerima untuk terus berniaga dengan lesen penjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Manakala skim Go Digital pula menyasarkan 3,000 usahawan sedia ada menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi seperti gajet dan tablet selaras matlamat melahirkan lebih ramai usahawan digital
Selangor.

 


Pengarang :