AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri sifatkan legasi Jamali Shadat wajar diteladani

SHAH ALAM, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menyifatkan penghibur veteran, Datuk Jamali Shadat meninggalkan legasi membanggakan untuk diteladani generasi baharu.

Selangor Royal Office memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin dengan perasaan sedih dan dukacita menzahirkan ucapan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham yang kembali ke rahmatullah pada Rabu pada usia 78 tahun.

“Baginda berdua berharap agar keluarga Allahyarham terus tabah dan redha di atas ketentuan ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook.

Jamali merupakan anak jati Selangor, lahir di Bukit Kapar, Klang, banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam bidang seni, meninggal dunia di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Allahyarham mempunyai lapan anak dan 39 cucu, cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan dari pelbagai kaum pada zaman kegemilangannya.

Selain itu, pelawak legenda tanah air yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti bahasa Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.


Pengarang :