Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiada jangkitan Covid-19 di Sabak Bernam – JKNS

SHAH ALAM, 19 FEB: Sabak Bernam tidak merekodkan kes positif Covid-19 hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi berkata Petaling menjadi daerah dengan catatan tertinggi selepas 376 jangkitan dikesan membabitkan Damansara sebanyak 160 kes, Petaling (98), Sungai Buloh (76) dan Bukit Raja (42).

Diikuti Klang dengan 193 kes iaitu Klang (166) dan Kapar (27) manakala Gombak merekodkan 173 kes melibatkan Batu (83), Rawang (52), Kuang dan Setapak (13) dan Hulu Kelang (12).

“Sebanyak 126 kes di Hulu Langat iaitu Kajang (47), Cheras (39), Ampang (28), Hulu Langat (sembilan) dan Semenyih (tiga). Kuala Langat catat 40 kes dengan Tanjung 12 (24), Telok Panglima Garang (14) dan Morib (dua).

“Sepang merekodkan 37 kes iaitu Labu (36) dan Labu (satu) manakala Kuala Selangor melaporkan 16 kes dengan Ijok (tujuh), Kuala Selangor (empat), Batang Berjuntai (dua) manakala Jeram, Tanjong Karang dan Api-api (satu),” katanya di Facebook hari ini.

JKNS berkata sebanyak 13 kes dikesan di Hulu Selangor dengan Serendah (12) dan Hulu Bernam (satu).

Hari ini Selangor mencatatkan 978 kes Covid-19 termasuk satu jangkitan import selain pertambahan tiga kematian.


Pengarang :