Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemerintahan singkat PN ancam kebebasan media

SHAH ALAM, 19 FEB: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hampir setahun mengemudi negara dilihat cuba menyekat kebebasan bersuara dengan mengganggu penyiasatan wartawan, badan berita bebas serta ahli parlimen.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan lemah yang sentiasa mengelak masyarakat seperti melaksanakan Pengisytiharan Darurat, penggantungan Parlimen dan serangan terhadap media bebas.

“Pemerintahan kuat dan berkeyakinan tidak akan berkelakuan seperti ini. Hari ini Malaysiakini dihukum bukan kerana melaporkan berita palsu sebaliknya komen pengguna internet yang tidak dikenali.

“Negara luar banyak melakukan taktik ini sekali gus menggambarkan Malaysia menuju ke arah pemerintahan diktator. Tindakan ini akan merobek kepercayaan dan keyakinan terhadap negara malah menyebabkan pelabur asing semakin menjauh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Presiden KEADILAN berkata kebebasan bersuara merupakan ‘tiang seri’ dan elemen penting dalam sistem demokratik dengan cabang pemerintah bertanggungjawab memelihara dan melindunginya sepertimana terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pagi tadi Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 menjatuhi hukuman denda RM500,000 kepada portal Malaysiakini atas kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya dan harus dibayar dalam tempoh tiga hari mulai Isnin depan.

Ia berkaitan komen lima pembaca mengenai artikel disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.


Pengarang :