Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Unisel Prof Madya Dr Fridelina Sjahrir (dua dari kanan) menyerahkan kit penjagaan diri kepada wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman pada 17 Februari 2021. Foto Facebook Unisel
AGENSISELANGOR

Unisel sumbang kit penjagaan diri kepada calon SPM

SHAH ALAM, 18 FEB: Universiti Selangor (Unisel) menyumbang kit penjagaan diri kepada 1,045 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Bestari Jaya.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata kit tersebut mengandungi cecair pembasmi kuman, bekas penyimpan pelitup muka dan kad ucapan selamat berjaya.

Menurutnya, penerima terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Taman Desa Bandar Country Homes, SMK Bukit Tengah, SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Sulaiman dan Smart Tahfiz institusi itu.

“Inisiatif kumpulan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jabatan Kejuruteraan dan Sains Hayat sebagai keprihatinan terhadap calon SPM 2020 yang bakal menghadapi peperiksaan dalam keadaan norma baharu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, ketua projek CSR Dr Nazlin Hanie Abdullah memaklumkan kit berkenaan dihasilkan melalui kerjasama membabitkan beberapa pensyarah, staf teknikal jabatan dan alumni.

“Diharap calon dapat menjawab soalan dengan yakin dan inisiatif ini dapat merapatkan lagi hubungan dua hala antara Unisel serta sekolah sekitarnya,” katanya.


Pengarang :