Pelajar SMK Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti pembelajaran dalam talian di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting ketika tinjauan pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Team Selangor tambah baik kelas maya, tumpu pemerkasaan anak muda

SHAH ALAM, 18 FEB: Sukarelawan Team Selangor akan menambah baik program SkorLAH SPM untuk pelajar tingkatan 5 sesi 2021 seiring norma baharu dunia pendidikan.

Ketua unit sekolah berkata selain tuisyen percuma, pihaknya turut merancang program pemerkasaan anak muda Selangor untuk berdepan kehidupan pasca Covid-19.

“Perebakan Covid-19 telah mengubah cara kita menjalani kehidupan tidak terkecuali sektor pendidikan yang perlu diteruskan dalam suasana berbeza.

“Jadi kita perlu mencari kaedah dan menyusun perancangan terbaik bagi membimbing pelajar atau anak muda,” kata Muhamad Haziq Fikri Jasni kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Team Selangor membantu pelajar keluarga berpendapatan rendah yang bakal menduduki peperiksaan SPM bermula Isnin depan menjalani kelas secara maya.

Program tersebut terhad kepada 100 individu untuk setiap mata pelajaran. Kelas Bahasa Melayu dan Sejarah sudah dilaksanakan pada 13 dan 14 Februari manakala Bahasa Inggeris (20 dan 21 Februari), Matematik (20 dan 21 Februari) serta Fizik (27 Februari).

Team Selangor yang ditubuhkan pada 2017 adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan aktiviti sukarelawanan dan pemerkasaan komuniti.


Pengarang :