Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Waktu operasi Pusat Penilaian Covid-19 tiga daerah diubah, semak Facebook JKNS

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan perubahan waktu operasi bagi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) melibatkan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Klang dan Sepang.

Menurut Facebook jabatan berkenaan, bagi CAC PKD Petaling di Stadium Melawati Seksyen 13 Shah Alam waktu operasi adalah Isnin sehingga Sabtu dari jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Bagi CAC PKD Klang di Stadium Hoki Pandamaran, waktu operasi untuk Isnin – Khamis adalah jam 8.30 pagi-12.30 tengah hari dan 2-5 petang, sementara pada Jumaat bermula 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi dan 3-5 petang manakala pada Sabtu bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu untuk CAC PKD Sepang di Stadium Mini Bandar Baharu Salak Tinggi waktu operasi pada Isnin sehingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi sehingga 5 petang, manakala pada Sabtu dan cuti umum adalah 8 pagi sehingga 1 petang.

“Sekiranya anda pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC. Pasukan Penilaian Rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” tulis jabatan itu.

Selain stadium dan dewan orang ramai, 19 CAC di seluruh Selangor turut ditempatkan di klinik kesihatan (KK) dan klinik desa yang disenaraikan.

CAC mula dibentuk pada hujung Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Senarai lengkap nombor telefon CAC beserta hari dan waktu operasi boleh dirujuk di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

 


Pengarang :