Kanak-kanak autistik dari Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (Insani) mengadakan persembahan dalam suatu majlis di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Mac 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELAMGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yawas: Hampir 500 mohon bantuan anak OKU

SHAH ALAM, 17 FEB: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima 485 permohonan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) dalam tempoh 24 jam selepas dibuka pada Isnin.

Penolong pengurus korporatnya berkata jumlah yang akan diluluskan tahun ini berkemungkinan lebih tinggi berbanding tahun lalu namun tetap mengikut syarat.

“Bilangan penerima akan dibuat berdasarkan peruntukan Kerajaan Negeri. Had bantuan untuk satu anak orang kelainan upaya (OKU) berjumlah RM5,000 setahun.

“Sejak diperkenalkan pada 2019, lebih RM950,000 digunakan bagi membantu penerima program ini,” kata Sharizan Mohd Shariff kepada SelangorKini.

Menurutnya, bantuan tahun ini ditambah baik dengan menyediakan keperluan makanan tambahan berikutan terdapat penerima yang mempunyai masalah berkaitan pemakanan.

“Begitu juga dengan cara saluran bantuan. Sebelum ini kita terima sebut harga daripada penerima tetapi kali ini kita gunakan panel dilantik untuk sediakan keperluan bantuan,”katanya.

Bermula Isnin lalu, orang ramai yang mempunyai anak OKU berusia 18 tahun ke bawah boleh membuat permohonan di laman sesawang http://www.anis.yawas.my.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 mengumumkan sejumlah RM3.25 juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

 


Pengarang :