Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari melihat struktur kediaman salah seorang penduduk yang rosak akibat ribut ketika mengadakan lawatan ke Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang pada 8 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

120 mangsa ribut di Sepang terima bantuan awal RM500

SEPANG, 8 MAC: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap 120 keluarga mangsa ribut di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan segera itu bertujuan meringankan beban mangsa selain memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Setakat ini kita berikan bantuan segera terlebih dahulu kepada mangsa bencana, semoga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka.

“Bagaimanapun, kita akan adakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok atau Rabu ini untuk membincangkan bantuan keseluruhan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pangsapuri Dahlia selepas mengadakan lawatan kira-kira lebih satu jam ke beberapa kawasan bencana sekitar Sepang.

Mengulas mengenai beberapa sekolah terjejas, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang dan bantuan dihulur mengikut kesesuaian.

Sabtu lalu, lebih 100 rumah sekitar BBST dan Pekan Salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5 petang.

Kawasan perumahan terjejas adalah Taman Seroja melibatkan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana, Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).

Turut mengalami kerosakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.

Difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selain disifatkan sebagai terburuk.


Pengarang :