Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Bil 3/2020 pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

95 peratus anggota, pegawai polis sedia terima vaksin

IPOH, 12 MAC: Kira-kira 95 peratus anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bersedia menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata kira-kira tiga peratus pula tidak dapat menerima vaksin itu kerana masalah kesihatan.

“Yang tidak mahu mengambil vaksin (kerana kesihatan) ini ada di beberapa negeri antaranya Kelantan, Kedah dan Perak. Saya juga akan berusaha menerangkan (kepada baki dua peratus lagi) tentang kebaikan kerana kita ambil pandangan daripada Kementerian Kesihatan.

“Itulah tempat rujukan tempat. Bukan bomoh, pendeta, guru ajaran sesat. Kalau saya tahu mereka ikut ajaran sesat, saya suruh mereka keluar daripada PDRM,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan kursus lesen juruterbang peribadi di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditanya mengenai segelintir pegawai dan anggota PDRM di Kelantan yang dilaporkan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mengulas isu kompaun RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard Covid-19, Abdul Hamid menjelaskan tindakan itu diambil demi keselamatan orang ramai.

“Semalam viral satu notis kompaun ditulis RM10,000. Kesalahan individu itu ialah gagal mendaftar MySejahtera. Peraturan itu dibuat dan dilaksanakan demi keselamatan orang yang berkunjung ke tempat itu. Jika mana-mana individu tidak mengikut peraturan, ia membawa risiko yang besar kepada lain-lain pengunjung di premis tersebut.

“Saya sudah jelaskan, mana-mana tindakan ialah atas budi bicara pegawai yang diberi kuasa untuk kompaun RM10,000, RM1,000, RM50 atau dimaafkan. Begitu juga saman trafik. Kita ada ruang untuk penjelasan dan justifikasi. Boleh merayu.

“Jangan khuatir mengenai RM10,000 ini, tetapi khuatirlah jika dijangkiti Covid-19. Kompaun RM10,000 itu juga untuk pencegahan. Balik-balik muka yang sama atau premis yang sama buat kesilapan,” katanya.

Semalam tular menerusi media sosial mengenai seorang lelaki dikompaun RM10,000 kerana gagal mengimbas kod MySejahtera mahupun mendaftar secara manual di sebuah restoran di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata pewartaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini akan memudahkan polis bertindak terhadap penyebar berita palsu berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Jelasnya sebelum ini polis perlu mendapatkan perintah untuk siasat (OTI) daripada pejabat pendakwa raya yang kadangkala memakan masa selama seminggu sehingga menyukarkan penguatkuasaan dan tindakan segera dilakukan.

“Untuk mendapatkan OTI bukan lima minit, tetapi makan masa seminggu. Kini kita boleh ambil tindakan terus kepada pesalah, sekali gus menyekat penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan ketidaksenangan hati, kegusaran dan kegemparan umum,” katanya.

Berdasarkan e-Federal Gazette yang dikeluarkan semalam, mana-mana individu yang menyebarkan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat akan dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan.

Ordinan tersebut diwartakan semalam dan berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu di majlis tersebut, seramai sembilan pegawai polis dipakaikan Sayap Juruterbang PDRM.

– BERNAMA


Pengarang :