SHAH ALAM, 12 MAC: Taman Persahabatan Selangor-Jepun yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam dibuka kepada orang awam mulai hari ini.
Datuk Bandar Dato’ Haris Kasim berkata taman berkeluasan 2.428 hektar yang dibina dengan kos RM3.8 juta siap sepenuhnya tahun lalu sejak dimulakan sekitar 2018.
“Pembinaannya sebagai tanda penghargaan kepada negara Jepun yang kekal setia menjadikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelaburan.
“Taman ini dibuka sedikit lewat kepada pengunjung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19,” katanya pada majlis pembukaan taman berkenaan di Taman Tasik Shah Alam hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (Padat) Selangor Datin Siti Khadijah Abd Aziz dan Setiausaha Ketiga Kedutaan Jepun di Malaysia Iwa Iwari.
Haris menyifatkan taman tersebut sebagai medium untuk menonjolkan nilai sosiobudaya masyarakat Selangor dan Jepun yang kaya dengan nilai ketimuran serta kesopanan.
Menurutnya, kedua-dua pihak juga berpeluang bertukar pengalaman terhadap amalan seperti gaya hidup, adat resam dan pemakanan.
Taman persahabatan ini mempunyai seni bina melambangkan elemen Jepun antaranya Laman Zen, Kolam Maze, Gerbang Torii, Tsukubai (besen batu), laman refleksologi dan laman teres.
Menampilkan ciri unik dengan dikelilingi pagar keselamatan berkonsepkan buluh, taman ini dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 7 petang secara percuma.