Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan keperluan barangan asas kepada penduduk memerlukan di Tokong Kau Ong Yah Hon, Ampang sempena Jelajah Kita Selangor pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

ADN, ahli parlimen terima suntikan vaksin minggu hadapan – MB

AMPANG, 7 MAC: Ahli Dewan Negeri dan ahli parlimen di Selangor akan disuntik dos pertama vaksin bermula minggu hadapan menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata kesemua wakil rakyat berkenaan dipilih menjalani suntikan awal memandangkan akan berperanan mengagihkan pemberian vaksin pada fasa seterusnya.

“Berikutan kekangan masa mereka tidak mengambil suntikan bersama EXCO Kerajaan Negeri Khamis lalu dan diberi tempoh seminggu untuk mendapatkannya di pusat pemberian vaksin ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta hospital tertentu,” kata Dato Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Kita Selangor di Tokong Kau Ong Yah di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan cek cura RM1,000 kepada lapan tokong sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Sumbangan makanan turut diberikan kepada 100 keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan beban mereka yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Belgium.

Fasa pertama suntikan meliputi petugas hadapan diikuti kumpulan berisiko tinggi, warga emas, kumpulan rentan, orang kelainan upaya (OKU) dan dewasa 18 tahun ke atas.

Selangor menerima 78,000 dos vaksin Covid-19 yang mengutamakan wakil rakyat dan petugas barisan hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasar atau berkepentingan.


Pengarang :