ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meninjau lokasi kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Tradisi Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada 27 Februari 2021.
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Elak tapak lupus sampah terbakar, penduduk digesa awasi lori mencurigakan

SHAH ALAM, 3 MAC: Orang awam khususnya penduduk sekitar Kampung Tradisi Pulau Indah, Pelabuhan Klang diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika menyedari kehadiran lori mencurigakan di kawasan itu.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kenderaan terbabit berkemungkinan membawa muatan sampah untuk dibuang di tapak pelupusan haram yang menjadi punca kebakaran kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh menyalurkan maklumat kepada polis, bomba, pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah dan daerah termasuk saya sendiri supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dihentikan.

“Saya kesal kerana tanah milik kerajaan diceroboh sebegitu rupa sehingga merosakkan alam sekitar selain mengganggu ketenteraman penduduk,” kata Azmizam Zaman Huri kepada SelangorKini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak tertentu supaya menghentikan kegiatan tidak bertanggungjawab itu sebelum tindakan lebih tegas diambil.

Jumaat lalu, sebuah tapak pelupusan sampah haram dipercayai tanah jenis gambut di kampung berkenaan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.

Kejadian di tapak berkeluasan lebih empat ekar disyaki berpunca daripada aktiviti pembakaran sisa plastik haram.


Pengarang :