Tangkap layar video yang menunjukkan struktur binaan Lebuhraya SUKE yang runtuh dan menghempap van kilang pada 3 Mac 2021. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Struktur binaan Lebuhraya SUKE runtuh, hempap van dinaiki lima individu

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak runtuh dan menghempap sebuah van yang dinaiki lima individu.

Insiden pada kira-kira 6 petang itu melibatkan sebuah lori membawa jengkaut yang melanggar binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang terletak berhadapan Terminal Bersepadu Selatan.

“Akibat kemalangan itu, runtuhan binaan telah jatuh ke atas sebuah van kilang yang datang dari arah pusat bandar yang dinaiki lima individu,” menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata ketika ini, usaha menyelamat masih giat dijalankan.

“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan runtuhan itu telah menghempap sebuah van kilang yang di dalamnya terdapat lima mangsa yang melewati struktur binaan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :