Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima ketika Program Penyerahan Bantuan Bakul Makanan kepada pemandu bas dan teksi di Dewan Terbuka Kampung Melayu Batu Caves, Gombak pada 9 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 8,000 pemandu bas, teksi terima bantuan makanan enam bulan

GOMBAK, 9 MAC: Pemandu bas dan teksi di negeri ini bakal menerima bantuan bakul makanan selama enam bulan menerusi Pakej Kita Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, bantuan itu membabitkan 7,900 pemandu yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan persatuan yang sah.

“Kerajaan Negeri juga mungkin akan menambah tempoh masa bantuan ini sehingga 10 atau 12 bulan sekiranya jumlah pemohon tidak bertambah.

“Ini kerana kita berharap sementara ekonomi dipulihkan, bantuan bakul makanan yang disalurkan kerajaan dapat memberi keluarga pemandu makanan asas walaupun berada dalam situasi sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan Bakul Makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah di Dewan Terbuka Kampung Melayu Batu Caves.

Hadir sama EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM4.35 juta bagi melaksanakan program Bakul Makanan kepada golongan terjejas dengan impak Covid-19.

Selain pemandu teksi dan bas, ia turut disampaikan kepada beberapa kumpulan sasar meliputi penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemandu lori KDEB Waste Management dan isi rumah berasal dari Selangor.


Pengarang :