Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MPSJ, Seri Kembangan, Serdang pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majikan digesa bawa pekerja asing jalani saringan percuma

SERI KEMBANGAN, 7 MAC: Majikan digalak membawa pekerja asing ke Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri.

Koordinator Saringan Covid-19 Selcare, Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata majikan dinasihat supaya memanfaatkan program percuma itu.

“Saya harap masyarakat gunakan peluang ini kerana daripada situ kita boleh kesan lokaliti mereka dan pada masa sama dapat memutuskan rantaian wabak,” katanya ketika ditemui pada program saringan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Seri Kembangan di sini, semalam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

 


Pengarang :