Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar kenangan bersama Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar sempena program Jasamu Dikenang Budimu Disanjung di Hotel Sunway pada 27 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kerja selenggara paip Air Selangor dijangka selesai lebih awal

PETALING JAYA, 28 MAC: Kerja penyenggaraan paip yang menyebabkan gangguan air berjadual bermula Selasa ini dijangka dapat diselesaikan lebih awal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan usaha dilakukan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sebelum ini yang dapat menyiapkan kerja itu lebih cepat dari tarikh ditetapkan.

“Untuk kemudahan awam, kita akan percepatkan kerja penyenggaraan ini. Sekiranya bermula awal, maka kerja baik pulih akan dapat selesai lebih awal. Sekali gus membolehkan bekalan air terus dapat diagihkan kepada penduduk.

“Ini kerana pengalaman sebelum ini, jika tiada aral melintang, kita akan bermula awal dan dapat selesaikan lebih cepat baik pulih berkenaan,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung di Sunway Hotel Spa, malam tadi.

Amirudin menjelaskan kerja baik pulih yang menyebabkan ketiadaan bekalan di beberapa kawasan di Lembah Klang merupakan gangguan air berjadual.

“Saya yakin orang ramai sudah ambil maklum perkara ini lebih awal, namun masyarakat perlu tahu kerja penyenggaraan ini diambil kerana kita mahu memastikan selepas ini tidak berlaku gangguan bekalan air lebih lama.

“Pelaksanaannya juga bagi memastikan keselesaan rakyat,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 89 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac dan 6 April depan.

Ia berikutan kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.


Pengarang :