Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Pusat Operasi C5i Smart Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB tinjau pusat kawalan pintar operasi agensi penting

SHAH ALAM, 3 MAC: Dato’ Seri Amirudin Shari melawat Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) di Dewan Jubli Perak, bersebelahan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar meluangkan masa hampir sejam meninjau operasi serta mendengar taklimat oleh petugas Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Pusat kawalan menelan belanja RM6 juta mempunyai keupayaan operasi 24 jam lengkap dengan jaringan internet berkelajuan tinggi.

Ia merangkumi lima fungsi bersepadu iaitu arahan, kawalan, komunikasi, komputer, kolobrasi dan kerjasama.

SSOC menempatkan beberapa agensi penting melibatkan operasi harian seperti bas, kutipan sisa pepejal, pengurusan bencana dan keselamatan.

Selain itu, SSOC berupaya memberi maklum balas serta maklumat terkini berhubung usaha Kerajaan Negeri menangani Covid-19.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan pusat kawalan pintar di Dewan Jubli Perak seiring sasaran Negeri Pintar menjelang 2025.

Lawatan itu diiringi Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron; EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim; EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han dan EXCO Alam Sekitar, Hey Loy Sian.

Turut hadir EXCO Kesihatan, Dr Mariah Mahmud; EXCO Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah, EXCO Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.


Pengarang :