BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDHS perkenal sistem e-bil, mudahkan urusan bayar cukai

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) perkenal sistem bayaran, semakan cukai taksiran dan penerimaan bil dalam talian mulai 2 Mac.

Yang dipertua berkata sistem yang dikenali OneBill itu menggantikan kaedah penghantaran bil secara fizikal kepada elektronik menerusi portal MDHS.

“Inisiatif ini memudahkan semua pihak untuk terima bil sekiranya mereka berpindah rumah dan tidak kemas kini alamat,” kata Dr Mohd Azhar Mohd Ali dalam kenyataan.

Menurut Dr Mohd  Azhar, untuk mengakses ke sistem itu pelanggan perlu melayari portal rasmi MDHS di https://www.mdhs.gov.my dan lihat pada aplikasi dalam talian dan klik e-billing (cukai, sewaan, cagaran, pelbagai).

Jelasnya, kemudian mereka disambung ke laman sesawang e-billing dan terus masukkan nombor akaun semakan bil, maklumat terkini akan dipaparkan.

“Pelanggan boleh memuat turun bil dalam bentuk PDF dan boleh masukkan alamat emel untuk terima salinan bil tersebut,” katanya lagi.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Jabatan Perbendaharaan MDHS di talian 03-6064 1331 (sambungan 135/151) atau emel [email protected].


Pengarang :